Moden vs Tradisional




Pakaian merupakan simbol kepada personaliti pemakainya. Kerana itulah ia terdapat dalam pelbagai jenis, warna dan bentuk.

Di zaman serba moden ini, golongan terutama generasi muda lebih menumpukan kepada barat sebagai idola mereka, termasuklah dalam isu pemakaian. Jenama jenama yang terkenal menjadikan mereka bangga apabila dapat memilikinya, walau terpaksa bergolok bergadai mahupun dapat yang terpakai.

Melayu mempunyai pakaiannya sendiri, Baju Melayu misalnya. Persoalannya mengapakah pakaian ini  kelihatan pupus, melainkan di Masjid, pada hari Jumaat dan Hari Raya sahaja? Tetapi baju yang melambangkan budaya kita ini bukanlah rendah kualitinya, bukan juga buruk rupanya dan bukan juga tinggi harganya. Pengilang mampu membuat baju yang menepati ciri ciri kualiti yang baik.Mungkinkah baju melayu dirasakan lapuk untuk dipakai berjalan?

Kereta Jealous Ahura of Johor menggunakan kerawang diraja sebagai corak kereta mereka dan memenangi tempat kedua di pentas antarabangsa. Kerawang tradisional itu telah dinilai cantik diaplikasikan pada kereta moden. Mengapa perlu kita merasakan sebaliknya?

Sebenarnya nilai kebudayaan melayu dari semua segi amat baik dan berkualiti. Tetapi malangnya kemampuan ia direncatkan oleh pemikiran moden hampir semua orang bahawa barangan barat adalah terbaik. Walhal jika diusahakan, dimajukan dan paling penting disokong, ia akan mampu untuk bersaing dengan produk barat.

Bermula dari sinilah ia bergantung pada kerajaan untuk memartabatkan budaya kita. Seumpama tulisan jawi, baju baju melayu juga perlu dibantu. Kerajaan boleh mula mewajibkan kepada kakitangan mereka. Setelah beberapa lama, orang awam yang biasa melihat baju ini dipakai akan mempunyai rasa untuk memilikinya. Baju yang lain juga menggunakan cara yang sama untuk menarik pembeli.

Pereka fesyen perlu untuk mempunyai kesedaran dan boleh menggunakan kreativiti dan inovasi mereka membantu menggubah baju melayu yang moden dan sesuai dipakai oleh belia kini. Di samping merasa bangga, mereka akan sedikit sebanyak membantu negara. 

Contohnya, baju yang dipakai Farid Kamil di atas, ia sesuai untuk menggantikan kot atau dipakai ke majlis rasmi. Warna kuning boleh dikhaskan kepada sultan. Memakai baju yang lebih kurang sama tetapi bewarna lain akan menunjukkan betapa sayangnya mereka kepada sultan dan menanamkan lebih semangat patriotik. Corak yang formal untuk yang berusia mahupun corak yang lebih sesuai untuk dipakai remaja yang suka bergaya. Dengan sedikit pegubahsuaian, ia boleh digunakan untuk baju basahan mahupun menggantikan t shirt yang biasa dilihat di luar.

Kempen mahupun festival juga boleh diadakan untuk memperkenalkan fesyen yang baru keluar. Iklan juga boleh ditingkatkan sebagai promosi. Usaha yang berterusan dan dirancang secara teliti akan perlu   dilakukan untuk  menjadi produktif.

Masyarakat juga perlu mempunyai kesedaran sendiri untuk membantu memartabatkan budaya kita, disamping memperkenalkan kepada masyarakat dunia, kerana tidak mustahil perniagaan pakaian ini mampu menembusi pasaran luar negara. Mudah mudahan pakaian kita, budaya kita dan nilai nilai kesenian kita tidak luput ditelan zaman.


0 comments:

 
Copyright © Varqidic